Rabu, 5 November 2008

Muqaddimah




Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih diatas kesudian anda mengunjungi blog saya. Seperti tertulis didalam ringkasan tajuk blog diatas, blog ini ditujukan kepada guru-guru yang dipertanggung jawabkan untuk menyediakan kesemua jadual waktu sekolah sebelum tahun persekolahan bermula. Walau bagaimana pun ianya juga sesuai dibaca oleh pasangan (suami/isteri) kepada guru-guru tersebut kerana ia diharapkan akan dapat memberi manafaat kepada kedua-dua belah pihak.

Isteri saya adalah seorang guru sekolah yang menguruskan Pusat Sumber. Pada setiap percutian hujung tahun sekolah maka dia akan bertungkus lumus untuk menyediakan penjadualan sekolah 2 sessi yang mangandungi murid lebih 1,000 orang dan guru seramai lebih 60 orang. Bukan senang untuk menyusun jadual sekolah untuk Tahun 1 hingga Tahun 6 dengan cantik dan tiada bebanan kepada setiap guru dan juga tiada pertindihan antara guru, subjek & kelas. Wow, pening kepala. Bila sudah siap, di semak dan sekiranya memerlukan sedikit perubahan sahaja akan melibatkan banyak jadual. Maka akan tidur lewat lah isteri saya itu… Tapi itu cerita lama dan telah menjadi sejarah baginya.

Oleh kerana secara kebetulan saya mempunyai minat dan kemahiran didalam memprogram macro dan Visual Basic untuk MS Excel, maka dalam sekitar hujung tahun 2003, timbullah perasaan ingin membantunya. Lalu saya pun mula dari ‘scratch’ membuat program penjadualan waktu sekolah. Mula-mula pening juga dibuatnya, tapi oleh kerana memikirkan bahawa program ini berguna untuk setiap tahun, maka saya tabahkan juga. Akhirnya satu program penjadualan waktu sekolah yang berasaskan MS Excel itu pun berjaya saya siapkan. Dan isteri saya tidak perlu tidur lewat lagi …

Dari masa kesemasa saya perbaiki keupayaan program tersebut sehinggalah ianya bersifat ‘user-friendly’. Kini sudah 5 tahun program tersebut digunakan oleh isteri saya. Tiada masaalah guru bertindih masa, siap dengan penjadualan keseluruhan sekolah, tahun, kelas individu dan guru individu. Ianya juga dilengkapkan dengan pilihan untuk mewarna dengan sekali klik sahaja. Kerja-kerja mencetak juga tiada masaalah kerana ianya diasaskan kepada MS Excel, perisian yang saya percaya digunakan oleh kebanyakan sekolah diseluruh Malaysia.

Kalau pembaca adalah seorang guru yang bertugas membuat jadual waktu keseluruhan sekolah, sudah tentu bersetuju dengan saya bahawa bukan senang untuk melaksanakan kerja tersebut secara manual, iaitu tanpa menggunakan komputer.

Oleh kerana program ini telah menunjukkan hasilnya setelah diuji dan digunakan oleh isteri saya sendiri selama beberapa tahun, maka timbullah didalam fikiran saya mudah-mudahan ianya juga dapat membantu dan dimanafaatkan oleh guru-guru disekolah lain, kalau boleh diseluruh Malaysia.

Di posting akan datang saya akan bercerita lagi tentang jadual waktu ini dengan lebih lanjut.

Jumpa lagi di posting saya yang akan datang…

Tiada ulasan: